KHAULAH binti Al-Azwar adalah wira wanita yang menyertai Perang Ajnadin ke Syam di bawah pimpinan Panglima Khalid bin Walid ketika zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Dalam peperangan hebat itu, tentera Islam dengan gigih menyerbu Ajnadin dari arah Palestin. Pasukan Romawi pimpinan Teodore dari sebelah utara Syam pula berusaha menghalang kemaraan pasukan Arab. Dalam peperangan itu, Dhiraar bin Al-Azwar, pahlawan perang yang terkenal dengan keberanian sehebat seribu perajurit ditawan pasukan Romawi. Keadaan itu menyebabkan Khalid begitu marah dan memerintahkan pasukannya membebaskan Dhiraar. Dalam gelora perang itu, pasukan Romawi tiba-tiba dikejutkan seorang perajurit Islam bertopeng yang bertempur bermati-matian menewaskan beberapa perajurit Romawi. Keberanian perajurit bertopeng itu begitu mengagumkan. Panglima Khalid sendiri berasa hairan. Siapakah perajurit bertopeng itu? Ketika ditanya, perajurit bertopeng itu mengelak tetapi Khalid terus mendesak. Akhirnya, rahsia terbongkar. “Wahai panglima, aku tidak mengelak darimu kecuali kerana rasa malu terhadapmu. Anda seorang panglima besar, sedangkan aku wanita. Tetapi, aku terpaksa melakukan ini kerana hatiku sakit dan marah. “Aku adalah Khaulah binti Al Azwar. Aku sedang bersama wanita kaumku. Kemudian datang orang memberi khabar bahawa saudaraku Dhiraar ditawan, maka aku pun menaiki kuda dan melakukan apa yang anda lihat ini.” Khalid sedih bercampur hairan, mengapa wanita sanggup keluar ikut berjihad dengan gigih untuk menyelamatkan tawanan perang. Sejak itu, Panglima Khalid bersumpah menyelamatkan Dhiraar. Peperangan terus berkecamuk dan akhirnya, kemenangan berpihak kepada pasukan Arab. Dhiraar berjaya dibebaskan daripada tawanan Romawi. Demikian sejarah perjuangan Islam yang disertai serikandi Islam yang tidak gentar bertempur bersama perajurit lelaki. Mereka berada di belakang pasukan kerana jika ada perajurit yang luka, mereka yang merawatnya. Hingga zaman pemerintahan Usman bin Affan, Khaulah menyaksikan pelbagai peristiwa dan bencana. Kegigihannya di medan peperangan menimbulkan kekaguman seperti peristiwa pertempuran bertopeng itu. Suatu ketika, kepala perajurit Romawi menjadi mangsa pukulan tiang khemah yang dicabut Khaulah ketika beliau memimpin wanita yang bersamanya di medan peperangan. Ia berlaku ketika pertempuran pasukan Arab dan Romawi kedua di Maraj Daabiq. Sekali lagi, Khaulah kehilangan saudara lelakinya, Dhiraar, yang ditawan musuh. Kesedihannya digarap pada syair dan tangisan yang mendorong semangat pasukan Islam untuk menuntut Romawi membebaskan Dhiraar. Beberapa wanita lain yang suami mereka menjadi tawanan turut memberi semangat supaya tentera Islam lebih berani. Pasukan Arab berjaya menyerbu daerah utara Syam dan mengepung Antarkia manakala beberapa tawanan dibebaskan, termasuk Dhiraar. Malangnya Khaulah dan beberapa wanita lain pula menjadi tawanan Romawi. Dalam tawanan pasukan musuh itu, Khaulah tidak menyerah kalah. Beliau berseru kepada temannya: “Hai puteri Himsyar sisa keturunan Tubba, apakah kalian rela menjadi tawanan Romawi dan anak kalian menjadi budak mereka? “Lebih baik kita mati daripada menjadi tawanan yang hina dan melayan Romawi keparat.” Dengan semangat pantang menyerah, Khaulah mengetuai teman tawanan wanita dengan mengambil tiang khemah. Bersenjatakan tiang itu, mereka melawan pasukan Romawi dengan memukul kepala mereka. Berkat keberanian itu, mereka berjaya membebaskan diri.
*Sejak dulu sangat mengagumi beliau.Moga diri beroleh kekuatan meneladani beliau=)
No comments:
Post a Comment